Assalamualaikum...
UNTUK TATAPAN SUAMI…
Biasanya balik ke rumah selepas kesibukan
kerja di pejabat dengan niat untuk berehat melepaskan penat jerih.
Ada juga yang berniat balik ke
rumah sekejap untuk mengambil pakaian sukan dan kemudian
terus ke gelanggang permainan bersama-sama dengan rakan-rakan sepejabat atau
sepersatuan.
Tidak kurang pula yang sampai di rumah terus
mengerjakan solat 'Asar dan kemudian ke halaman rumah meneruskan kerja-kerja
menanam pokok bunga kesayangan.
Apabila sampai ke rumah, hanya anak-anak sahaja yang menyambut di pintu. Isteri yang
"full-time-house-wife" tu, meneruskan pekerjaan biasanya seperti
melipat kain, gosok baju atau menyapu halaman rumah petang-petang.
Kita pun mencium anak-anak dan terus ke bilik tidur
dan membuat kerja-kerja seperti di atas tadi. Tidak ada senerio drama tv
seperti isteri menyambut dan menyediakan minuman untuk suaminya, sambil
suaminya pula merebahkan badannya di sofa empuk "italian set" nya
itu.
Bagi isteri yang balik bersama-sama satu
kereta pula, sepanjang perjalanan dia lelapkan matanya menghala keluar
hinggalah sampai ke rumah. Tiba di rumah, masing-masing dengan urusan
sendirian, sibuk macam di pejabat tadi.
Alangkah ruginya menpunyai pasangan yang halal
tetapi hubungan seperti "bukan muhrim". Sudahlah berpisah
lebih lapan jam sehari dengannya kerana bertugas di pejabat, ditambah pula
dengan hubungan yang hambar apabila bersama di rumah. Dengan ini, ramailah
dikalangan kita yang tidak dapat menikmati cogan kata yang popular masa kini,
"Rumahku Syurgaku".
Mengapa boleh terjadi demikian? Semasa baru-baru kahwin, biasanya isteri tu lah yang
menyambut di pintu dengan senyum manisnya dan memimpin ke kerusi atau
ke dalam bilik tidur. Dan di situ jugalah dia akan bercerita mengadu hal
peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang ketiadaan di rumah.
Macam-macamlah tajuknya hingga kadang-kadang naik
meluat mendengarnya. Tetapi, pada masa itu memang pendengar yang amat baik
sekali dan bersungguh-sungguh melayan cerita dan emosinya. Baru kahwinlah
katakan. Tetapi sekarang semuanya itu hanya tinggal kenangan.
Wahai suami-suami yang dimuliakan,
Memang kita lebih sibuk dari dia. Memang kita lebih
banyak memikirkan masalah masyarakat dan negara. Memang minat kita berbeza.
Memang kita malas mendengar cakap dia. Tetapi, pernah tak kita fikirkan
hasilnya jika kita mendengar sekejap ceritanya bila sampai di rumah setiap
petang?
Jika kita boleh meneruskan tabiat seperti baru-baru
kahwin dulu tu; menjadi pendengar yang baik, meluangkan masa dalam lima minit
mendengar ceritanya sebaik sahaja kita tiba di rumah, mengangguk-anggukkan
kepala dan bersetuju dengan pandangan-pandangannya, menegur ceritanya apabila
dia mula nak mengumpat dengan cara yang baik - yakinlah, hasilnya nanti, dia
akan rasa terhibur dan merasakan dialah orang yang paling gembira sekali pada
hari itu.
Cintanya rasa berbalas apabila aduannya itu dilayan
dengan belaian kasih mesra. Kusut masai semasa dia memerahkan otaknya
membersih, mengindahkan rumah dan memasak masakan kegemaran, akan
terurai kerana kesanggupan kita mendengarnya sembangnya itu. Tak lama wahai
suami-suami, hanya lima minit sahaja yang perlu kita luangkan untuknya. Tetapi
kesan boleh menceriakannya selama 24 jam untuk hari yang berikutnya.
Niatkan di hati untuk mendengar ceritanya sama
ada dirumah atau di dalam kereta sebaik sahaja melangkah keluar dari
pejabat. Jangan amalkan singgah dulu di kafetaria untuk minum petang dengan
rakan-rakan sepejabat, ini akan menyebabkan kita merasakan isteri tidak perlu
lagi melayan kita di rumah nanti. Sebab kita sudah kenyang.
Sampai di rumah mulakan dengan soalan, "Ada
berita baik hari ini ke?" atau yang serupa dengannya. Yakinlah, sebulan amalkan, pasti isteri akan bersama-sama dengan anak-anak menyambut di muka pintu dengan senyuman meleret hingga ke telinganya.